fbpx
SANO berjaya mempamerkan aksi terbaik bersama Jepun di Piala Dunia menyebabkan Liverpool berminat. - AFP

Liverpool idam buru pemain Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIVERPOOL – Liverpool dilapor berada paling hadapan untuk bersaing mendapatkan pemain tengah Jepun, Kaishu Sano apabila bersedia mengemukakan tawaran sekitar £51 juta (RM280.3 juta) untuk menewaskan Arsenal dalam perebutan mendapatkan pemain tersebut.

Pengurusan The Reds difahamkan sudah mengadakan rundingan awal dengan wakil pemain berusia 25 tahun itu yang kini semakin menjadi buruan beberapa kelab elit Eropah selepas aksi cemerlang bersama Mainz dan Jepun.

Selain Arsenal, Tottenham Hotspur serta Borussia Dortmund turut memantau perkembangan Sano, namun Liverpool dilihat memiliki kelebihan apabila bersedia memenuhi nilai perpindahan yang diminta Mainz.

Kelab Bundesliga itu meletakkan harga hampir €60 juta (RM279.7 juta) buat Sano dan tidak menolak kemungkinan untuk melepaskannya musim panas ini sekiranya menerima tawaran yang menepati penilaian mereka.

Sano mencuri tumpuan selepas mempamerkan prestasi konsisten di Bundesliga sebelum mengukuhkan reputasinya pada kempen Piala Dunia 2026 apabila meledak gol ketika Jepun menentang Brazil pada pusingan 32 terbaik selain mencipta satu bantuan jaringan.

Musim lalu, bekas pemain Kashima Antlers itu membuat 48 penampilan bersama Mainz dengan menyumbang dua gol dan lima bantuan jaringan, selain dikenali menerusi disiplin tinggi, kebolehan merampas bola serta ketenangannya mengawal permainan di bahagian tengah.

Liverpool melihat Sano sebagai pilihan sesuai untuk memperkukuhkan jentera tengah menjelang musim baharu, malah tawaran tersebut berpotensi menjadi rekod jualan terbesar dalam sejarah Mainz sekiranya perpindahan itu dimuktamadkan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN