KANGAR – Seorang pempengaruh berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Pemuda itu didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun 10 bulan ketika kejadian di dalam bilik sebuah rumah di daerah ini pada pukul 3.10 pagi, 17 Jun lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Ahmad Poad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Hakim menetapkan 14 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kosmo! pada 13 Julai lalu melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki merogol dan merakam gambar lucah seorang remaja perempuan. Suspek ditahan selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terkutuk tersebut.- KOSMO! ONLINE














