SHAH ALAM – Seorang pekerja kedai runcit warga asing berdepan denda RM1 juta selepas didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memiliki 1,598 kilogram (kg) minyak masak tanpa lesen.
Tertuduh, Senthil Vadivel, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Datin Fatimah Zahari.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa ada barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu minyak masak berjumlah 1,598 kg dalam keadaan menimbulkan syak munasabah seterusnya melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis tidak bernama di sekitar daerah ini, kira-kira pukul 5.40 petang, 14 Julai lalu.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974
yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama dengan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Nur Abyan Anuar mencadangkan jaminan RM40,000 dengan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri setiap bulan di pejabat KPDN Putrajaya.
Peguam Mark Jeyakumar Michael dalam mitigasinya memohon jaminan minimum kepada anak guamnya dengan dua penjamin warga temaptan serta akan mematuhi semua syarat tambahan ditetapkan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE














