KUALA LUMPUR – Klise, tetapi benar, gangguan misteri dan penggambaran naskhah seram tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan anak seni dan krew produksi tanah air.
Pelik namun itulah yang berlaku kepada pelakon Hannah Delisha apabila berdepan gangguan misteri ketika menjalani penggambaran drama terbitan Viu berjudul Dia Perempuan Sialan, termasuk muncul kesan merah berbentuk bunga pada dahinya tanpa diketahui punca sebenar.
Ujar Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch, 29, kejadian pelik tersebut berlaku pada hari terakhir penggambaran di sebuah rumah di Pulau Carey sehingga mengundang tanda tanya seluruh pasukan produksi.
“Apabila bangun tidur, saya perasan ada kesan merah pada dahi, bentuknya seperti bunga semanggi (clover). Walaupun ditutup dengan mekap, kesan merah itu masih kelihatan sedikit.
“Dia bukan lebam, ini merah, macam dicop. Saya fikir mungkin digigit serangga tapi tiada kesan gigitan. Peliknya, selepas dua hari terus hilang. Tak sakit, tak gatal, langsung tak rasa apa-apa.
“Saya pun tak berani nak fikir lebih-lebih. Pengarah saya sempat bergurau, mungkin ‘dia’ cium saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Lebih menyeramkan, pelakon drama Andai Tiada Dia itu turut menyaksikan sendiri pintu bilik air di rumah berkenaan terbuka sendiri beberapa kali biarpun tiada angin, malah kejadian sama berulang selama dua malam berturut-turut.
“Mungkin rumah tersebut sudah lama kosong. Apabila kami datang menjalani penggambaran, barangkali ‘mereka’ tertanya-tanya siapa pula datang.
“Ada sebuah bilik tidur bersambung tandas. Pintu tandas itu, tanpa angin atau apa-apa, tiba-tiba terbuka sendiri. Tutup, buka semula. Tutup lagi, buka lagi. Kali ketiga barulah dia berhenti.
“Esoknya perkara sama berulang lagi. Malam pertama kru yang mengalami kejadian tersebut. Keesokan harinya pula, saya sendiri nampak pintu itu terbuka dua kali. Saya bangun dan menutupnya semula,” ceritanya pada tayangan perdana What’s Next on Viu – Viu Original di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, Hannah tidak menafikan penggambaran karya berunsur seram sememangnya sering dikaitkan dengan kejadian luar biasa, namun bersyukur segala gangguan dialami masih dalam keadaan terkawal.
“Perkara seperti ini mungkin berlaku secara semula jadi apabila kita membawa watak dan menghidupkan emosi dalam cerita seram.
“Jujurnya, saya memang ada dengar beberapa orang beritahu rumah di Pulau Carey itu dikatakan berhantu dan minta saya berhati-hati.
“Alhamdulillah, setakat ini gangguannya sekadar pintu buka tutup sahaja. Tiada perkara lebih serius berlaku. Lagipun penggambaran di lokasi itu sudah selesai dan sekarang kami berada di tempat lain,” kongsinya.
Ditanya mengenai amalan diamalkan bagi mengelakkan gangguan sedemikian, Hannah mengakui sentiasa mengamalkan bacaan doa sebagai ikhtiar memohon perlindungan Allah.
“Yang paling penting, saya sentiasa amalkan Ayat Kursi dan tiga Qul.
“Saya juga membaca doa Bismillahil lazi la yadurru ma’asmihi syai’un fil ardi wala fis-sama’i wahuwas-sami’ul ’alim sebanyak tiga kali setiap kali selepas subuh dan maghrib,” tuturnya.
Untuk rekod, Dia Perempuan Sialan (The Hidden Hand) merupakan sebuah siri seram thriller premium hasil kolaborasi produksi Malaysia dan Indonesia.
Dijadualkan menemui penonton pada September 2026, siri eksklusif tersebut menggabungkan elemen seram, misteri serta konflik penuh debaran dengan menampilkan gandingan Meerqeen, Hannah Delisha dan pelakon Indonesia, Caitlin Halderman. – KOSMO! ONLINE














