fbpx
Kum Loon bersama Lavin selepas membayar denda di Mahkamah Majistret Klang.

Baru bebas kes bunuh, penganggur didenda kes pemerasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Baru beberapa bulan menarik nafas lega selepas dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat membunuh, seorang penganggur kembali ke mahkamah dengan didenda RM2,500 kerana melakukan pemerasan terhadap pemilik kedai makan, Mei lalu.

Mok Kum Loon, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azilah Mat sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, dia menjelaskan bayaran tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja telah mendatangkan ketakutan kepada seorang wanita berusia 25 tahun dengan niat hendak melakukan pemerasan di sebuah kedai makan di Lorong Senah Kawasan 18, di sini kira-kira pukul 4 petang pada 15 Julai lalu.

Bapa kepada dua anak itu dituduh mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya, sekiranya disabitkan kesalahan.

Peguam Lavin Thiruchelvam memaklumkan anak guamnya telah berkahwin dan mempunyai dua anak dengan seorang daripadanya menuntut di universiti selain ibu bapanya mempunyai masalah kesihatan.

“Tertuduh memohon maaf atas kesalahan dilakukan dan memohon hukuman denda agar dia dapat kembali kepada pangkuan masyarakat,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sulfie Abu Hassan memohon agar hukuman berbentuk deterrence sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Untuk rekod, Kum Loon sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Klang pada 24 April lalu daripada pertuduhan bersuhabat membunuh Chow Tiam Hee, 41, di Taman Anika, Sungai Udang, di sini.

Pembebasan Kum Loon bersama tiga lagi individu termasuk seorang jurubahasa bebas itu dilaporkan Kosmo! sebelum ini dengan pembunuhan tersebut dilakukan dalam satu rompakan palsu yang didakwa berlaku di sekitar daerah ini, empat tahun lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN