IPOH – Tiga lelaki yang tular selepas dipercayai terlibat dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Chemor pada Mei lalu akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh, S. Barani Tharan, 33, Yuvaneswara, 30, dan M. Suntaresswaran, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, mereka bertiga didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan menggunakan parang ke atas harta milik Phon Tuck Kei, 34, iaitu wang tunai RM850, tablet jenama Redmi dan telefon bimbit Vivo.
Perbuatan dilakukan di sebuah kedai di Jalan Klebang Ria 2, Taman Klebang Ria, Chemor di sini pada pukul 5.55 pagi, 31 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga tertuduh tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun ia bergantung kepada budi bicara mahkamah dan sekiranya dibenarkan, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.
“Mahkamah turut dipohon untuk mengenakan syarat tambahan iaitu setiap tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, diikat jamin oleh rakyat Malaysia dan tidak mengganggu pengadu dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai,” katanya.
Sementara itu, peguam K. Nahtan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai buruh kasar mempunyai tanggungan isteri dan ibu bapa.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan tindakan dua lelaki bersenjatakan parang yang memasuki sebuah kedai dan melarikan beberapa barang termasuk milik mangsa.- KOSMO! ONLINE














