fbpx
Tangkap layar Syed Saddiq sedang berlari sambil menyantuni penduduk di Labu, Negeri Sembilan sepanjang larian kesyukuran Putrajaya-Muar menerusi siaran langsung di TikTok, hari ini.

Syed Saddiq berlari malam-malam ditemani 33,000 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 33,000 orang menyertai dan memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memulakan Misi Larian Kesyukuran sejauh lebih 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar, Johor hari ini.

Larian yang bermula dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3 itu diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas beliau dibebaskan daripada sabitan dan hukuman yang dihadapinya pada Isnin lalu.

Syed Saddiq memulakan larian tersebut pada pukul 5.10 petang dengan ditemani ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz serta tunangnya iaitu penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.

Menerusi siaran langsung di akaun TikTok rasminya, beliau tiba di Labu, Negeri Sembilan pada pukul 9.35 malam selepas meneruskan larian sehingga malam dan berehat, sebelum menyambung perjalanan esok pada pukul 7 pagi.

Melalui siaran langsung di media sosial TikToknya itu lebih 30,000 penonton terus memberi sokongan terhadap lariannya yang turut mendapat lebih 8 juta tanda suka.

Misi larian selama empat hari itu turut membawa matlamat kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 menerusi akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.

Dana tersebut akan digunakan bagi membeli iPad untuk mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi selain menyediakan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan.

Terdahulu, menerusi siaran langsung bersama Bella di TikTok, Syed Saddiq berkata larian itu juga merupakan tanda penghargaan terhadap sokongan tidak berbelah bahagi yang diterimanya daripada orang ramai, khususnya warga Muar.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq dan Bella turut memaklumkan mereka sudah mempunyai tarikh perkahwinan, namun memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu bagi menghormati banyak pihak.

Pada 13 Julai lalu, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan.

Pembebasan itu menamatkan prosiding kes yang dihadapinya selepas beliau sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN