PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Dungun) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Rompin).
“Hujan lebat juga diramal berlaku di Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.
Turut terlibat, Negeri Sembilan (Seremban dan Port Dickson) dan Johor (Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Di Sarawak, hujan lebat diramal melanda Kuching (Lundu dan Kuching), Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
Sementara di Sabah, kawasan terlibat meliputi Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Sandakan) dan Kudat.
Cuaca buruk sama juga dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














