fbpx
Parti kecil gagal menembusi dominasi gabungan utama, malah ada yang kehilangan deposit. Gambar hiasan

Aura pemimpin tak cukup selamatkan parti serpihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMENANGAN besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi kempen ‘Onn Tak Onn’ membuktikan faktor personaliti, pendekatan turun padang dan keupayaan membina hubungan dengan rakyat masih mempunyai nilai besar dalam politik.

Namun, kejayaan seorang pemimpin mencipta tarikan peribadi tidak semestinya boleh dipindahkan secara automatik kepada parti yang dibawa bersama, khususnya bagi parti kecil dan serpihan.

Keputusan PRN Johor yang menyaksikan beberapa parti kecil gagal menembusi dominasi gabungan utama, malah ada yang kehilangan deposit, menjadi peringatan bahawa populariti individu sahaja tidak memadai.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Dr. Fairuzzaman Shaharuddin berkata, pengundi melihat kekuatan parti dan bukan populariti tokoh.

“Pengundi cenderung memberikan keutamaan kepada jenama parti berbanding individu semata-mata.

“Walaupun pemimpin ada pengaruh, kelebihan tersebut tidak semestinya dapat dipindahkan kepada parti baharu. Pengundi turut menilai kekuatan, rekod pentadbiran, kestabilan parti serta keupayaan jentera yang berkesan,” katanya.

Hakikatnya, kemenangan memerlukan lebih daripada sekadar populariti.

Tanpa rangkaian akar umbi dan organisasi tersusun, sokongan terhadap pemimpin sukar diterjemahkan menjadi kemenangan kerusi.

Keadaan itu menjelaskan mengapa parti dominan masih mempunyai kelebihan berbanding parti serpihan.

Jelasnya, parti kecil perlu membina kekuatan melalui kerjasama atau menyertai gabungan lebih besar.

“Parti-parti kecil lazimnya mempunyai peluang yang lebih baik sekiranya mereka bekerjasama atau menyertai gabungan politik yang lebih besar. Pendekatan tersebut membolehkan mereka berkongsi sumber, memperkukuhkan jentera pilihan raya dan mengelakkan perpecahan undi,” katanya.

Dalam konteks PRN Johor, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) menunjukkan gabungan yang memiliki struktur organisasi lebih tersusun.

“Terdapat beberapa mesej. Pertama, BN masih kekal sebagai pilihan utama majoriti pengundi di Johor.

“Kemenangan besar yang dicatatkan memberikan mandat yang jelas kepada parti tersebut untuk meneruskan pentadbiran negeri,” katanya.

Beliau berkata, parti kecil seperti Muda, Bersama, Asli dan PSM masih berdepan cabaran untuk meyakinkan pengundi sebagai alternatif politik yang benar-benar kompetitif.

“Penyertaan mereka mungkin berjaya menarik perhatian terhadap isu-isu tertentu,” katanya.

Selain faktor organisasi, sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) turut memberi cabaran tambahan kepada parti kecil.

“Sedikit sebanyak, Sistem FPTP sememangnya merupakan antara faktor yang menyukarkan parti-parti kecil memperoleh kerusi. Dalam sistem ini, parti yang memperoleh undi tertinggi akan menang,” jelasnya.

Mengulas kemenangan Onn Hafiz, Dr. Fairuzzaman berkata, faktor generasi baharu turut memainkan peranan.

“Namun ia bukan faktor tunggal,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan turun padang, imej dekat dengan rakyat serta penggunaan slogan yang mudah diingati membantu meningkatkan penerimaan pengundi.

Akhirnya, keputusan PRN Johor memberi satu isyarat jelas kepada parti kecil dan serpihan bahawa politik bukan sekadar pertandingan membawa nama besar, tetapi membina kepercayaan.

Tanpa jenama yang kukuh, organisasi yang tersusun dan akar umbi yang kuat, aura seseorang pemimpin mungkin mampu mencuri perhatian, tetapi belum tentu menang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN