REMBAU – Parti Berjasa ‘menggugurkan’ calon di lapan kerusi yang ditandingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi mengelak perpecahan undi orang Melayu.
Presidennya, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, Berjasa memilih untuk tidak bertanding di DUN Senaling, Juasseh, Sri Menanti, Lenggeng, Labu, Kota, Chembong dan Gemencheh.
“Keputusan ini dibuat demi meneruskan gelombang penyatuan ummah dan orang Melayu. Kami tidak mahu berlaku perpecahan undi Melayu yang akhirnya merugikan agenda lebih besar.
“Bahkan pendirian itu selaras dengan prinsip perjuangan Berjasa yang mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara berbanding persaingan politik semata-mata,” katanya.
Ujar Zamani lagi, parti berkenaan sebelum ini telah menyasarkan 15 kerusi dan walaupun tiada calon di lapan DUN berkenaan, jentera Berjasa akan terus digerakkan sepanjang tempoh kempen. -KOSMO! ONLINE.














