fbpx
AZIZI (kiri) didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah menyimpan minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

Bapa 19 anak didenda RM25,000 simpan diesel bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat penghantaran barangan yang mempunyai empat isteri dan menanggung 19 anak didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki lebih 31,000 liter diesel bersubsidi tanpa kebenaran.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizi Derani, 46, selain memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki 30,972 liter diesel di dalam sebuah lori tangki dan 237 liter lagi di dalam sebuah tangki besi di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Sinaran Baru, Skudai kira-kira pukul 1 petang pada 15 Ogos 2022.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Ketika rayuan, peguam Nurul Hidayah Basiran memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menyara empat isteri, 12 anak kandung, dua anak angkat dan lima anak tiri.

Beliau turut memaklumkan Azizi merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal yang menghidap beberapa penyakit kronik selain baru menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal kerana tertuduh merupakan pesalah berulang yang pernah didenda RM7,000 pada November tahun lalu serta gagal menjelaskan tawaran kompaun RM100,000.

Mahkamah turut memerintahkan sebanyak 31,209 liter diesel bernilai RM74,901.60 dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN