KUALA LUMPUR – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memfitnah ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menerusi satu rakaman video April lalu.
Tertuduh Sofia Rini Buyong, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Sofia didakwa memfitnah Farhash Wafa Salvador dengan menuturkan mangsa yang kini warganegara Turki mencuri duit dan menghantar ke luar negara seperti Turki dan Afrika.
Kenyataan fitnah yang akan merosakkan nama baik mangsa itu dibuat menerusi rakaman video pada pukul 6.30 petang, 26 April lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan.
Bagaimanapun peguam Shugan Raman merayu jaminan RM500 kerana anak guamnya mempunyai penyakit darah tinggi dan diabetes.
“Tertuduh tinggal bersama ibu sejak suaminya meninggal dunia pada 2025 dan menanggung seorang anak lelaki. Tertuduh juga telah muflis dan tiada pekerjaan tetap.
“Tertuduh di bawah jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM10,000, jadi kesemua wang miliknya disekat. Jumlah jaminan RM15,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah di luar kemampuan kewangannya,” katanya.
Mendengar perkara itu, Mohamad Fadhly dengan tegas berkata, jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan adalah munasabah mengikut pertuduhan. Sekiranya jumlah jaminan terlalu rendah, risiko tertuduh melarikan diri adalah lebih tinggi.
Majistret Nurul Izzah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu. – KOSMO! ONLINE















