fbpx
Poster yang menjadi pertikaian dalam kalangan netizen.

Ramai pertikai guna AI jana poster pelancaran maskot Sukan SEA 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Poster pelancaran maskot rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 menjadi bualan hangat di media sosial apabila ramai netizen mengenal pasti visual promosi itu dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI), sekali gus mengundang pelbagai kritikan.

Rata-rata pengguna Threads meluahkan rasa kecewa kerana berpendapat sebuah acara sukan bertaraf antarabangsa sepatutnya menampilkan hasil karya asli yang lebih berkualiti serta mencerminkan identiti Malaysia.

Seorang pengguna, @Shinichaitea, mendakwa penggunaan AI bagi menghasilkan bahan promosi temasya itu adalah sesuatu yang memalukan memandangkan ia melibatkan penganjuran di pentas antarabangsa.

“Kalau benar menggunakan AI untuk bahan promosi acara bertaraf antarabangsa, ia sesuatu yang mengecewakan,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Zyflvn_, berkata pertandingan mereka bentuk maskot sepatutnya menjadi platform mengetengahkan kreativiti rakyat Malaysia, bukannya bergantung sepenuhnya kepada teknologi AI.

“Jika hasilnya dijana sepenuhnya oleh AI, tujuan pertandingan itu sendiri dipersoalkan kerana kreativiti sepatutnya lahir daripada bakat pereka,” katanya.

Menurutnya lagi, reka bentuk maskot tersebut tidak cukup menyerlahkan identiti negara dan hanya bergantung kepada penggunaan warna Jalur Gemilang tanpa elemen ikonik Malaysia.

“Kalau mahu konsep futuristik sekali pun, masih boleh mengetengahkan identiti tempatan melalui inspirasi mercu tanda negara atau elemen budaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut mendakwa terdapat kesilapan pada paparan Jalur Gemilang dalam poster berkenaan yang didakwa hanya mempunyai 12 jalur, selain meminta penjelasan sekiranya benar AI digunakan dalam proses penghasilan visual tersebut.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @Randomrojak, menggesa pihak penganjur mengambil iktibar daripada kontroversi reka bentuk temasya sukan sebelum ini agar isu sama tidak berulang.

“Malaysia perlu belajar daripada pengalaman lalu supaya kontroversi seperti ini tidak berulang,” katanya.

Terdahulu, maskot rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2027, Tuah, diperkenalkan kepada umum sempena pelancaran identiti rasmi temasya itu, namun poster pelancarannya mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan kualiti reka bentuk serta penggunaan teknologi AI untuk menjana poster rasmi tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN