BENTONG – Seorang lelaki maut manakala anak lelakinya berusia enam tahun cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan trak pikap yang dipercayai memotong di kawasan garisan berkembar di Kilometer 15, Jalan Utama Mempaga di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.48 malam di hadapan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Bentong (Superb) itu, mangsa, Zaiful Arimey Zainal Abidin, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Katanya, ketika kejadian, Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun bersama seorang penumpang dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur menghala ke Raub.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Toyota Hilux dipercayai memotong beberapa buah kenderaan di kawasan garisan berkembar sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal berusia 33 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kecederaan pada tangan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini hari ini.
Katanya, anak mangsa yang membonceng motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah pada kaki kiri manakala pemandu dan penumpang trak pikap pula tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE















