AMPANG – Sebuah lori yang membawa muatan batu kerikil terbakar pada bahagian kepala kenderaan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Ulu Klang, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 9.39 pagi.
Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang digerakkan ke lokasi.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah lori tipper membawa muatan batu kerikil.
“Kebakaran melibatkan bahagian kepala lori dengan anggaran kemusnahan kira-kira 40 peratus dan tidak membabitkan sebarang mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, operasi berjaya dikawal pada pukul 9.55 pagi dan anggota bomba menjalankan kerja-kerja overhaul. – KOSMO! ONLINE















