BOGOTA – Penyerang Colombia, Jaminton Campaz dilaporkan berada dalam ketakutan dan terpaksa menyembunyikan diri selepas gagal menyempurnakan peluang menjaringkan gol pada masa tambahan ketika Colombia tewas kepada Switzerland pada aksi pusingan 16 terbaik.
Situasi itu menyebabkan Campaz bimbang sekiranya insiden yang menimpa Andres Escobar pada Piala Dunia 1994 menimpanya selepas pemain itu ditembak mati kerana menjaringkan gol sendiri.
Campaz dilaporkan enggan menaiki penerbangan pulang bersama rakan sepasukannya selepas penyingkiran Colombia daripada Piala Dunia FIFA selepas dikatakan menerima beberapa ugutan bunuh.
Pemain berusia 26 tahun itu yang kini beraksi bersama kelab Argentina, CA Rosario Central, terpaksa menulis permohonan maaf di laman media sosial dengan merayu semua pihak menerima kekalahan tersebut.
“Kepada seluruh negara, saya hanya mampu mengatakan bahawa saya turut berkongsi kesedihan atas penyingkiran ini. Kami juga bermimpi untuk mara lebih jauh, dan saya tahu betapa sedihnya kita semua sebagai rakyat Colombia hari ini.
“Saya amat menyesal kerana tidak dapat menghadiahkan kegembiraan yang kita semua harapkan. Namun, saya mahu anda tahu bahawa saya tidak pernah kurang dari segi dedikasi, komitmen atau kasih sayang terhadap jersi ini.
“Saya telah memberikan segala yang saya mampu di atas padang, dan saya sanggup melakukannya seribu kali lagi demi negara,” katanya.
Masih belum dapat dipastikan sama ada Campaz telah pulang terus ke Argentina atau memilih untuk terus berada di Amerika Syarikat.
Kempen gangguan dan kecaman terhadap Campaz di media sosial turut dikritik oleh Persekutuan Bola Sepak Colombia.
“Tiada atlet, mahupun mana-mana ahli keluarga atau individu terdekat mereka, sepatutnya menjadi mangsa ugutan hanya kerana mewakili negara dalam pertandingan sukan.
“Bola sepak seharusnya menjadi ruang untuk perpaduan, rasa hormat dan harapan, bukannya tempat yang dipenuhi kebencian, ugutan atau keganasan,” jelas kenyataan itu. – AGENSI















