fbpx
ARGENTINA perlu benar-benar bersedia untuk berdepan England selepas mereka mempamerkan aksi goyah dalam tiga aksi kalah mati sebelum ini. - AFP

Piala Dunia 2026: Argentina enggan peduli provokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ATLANTA – Ketua Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni enggan diheret ke dalam kontroversi melibatkan politik menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 menentang England yang akan berlangsung di Stadium Atlanta awal pagi esok.

Pertemuan antara dua gergasi bola sepak dunia itu dijangka berlangsung ‘panas’ memandangkan ada pihak mula mencetuskan provokasi berhubung pertikaian Kepulauan Falkland antara kedua-dua belah negara.

Bagaimanapun, Scaloni tidak mahu perkara itu menjejaskan fokus semua pemain selain menegaskan, pertemuan awal pagi esok hanya satu perlawanan bola sepak biasa dan tidak membabitkan politik.

Beliau berkata, ia akan menjadi satu perlawanan cukup menarik memandangkan England dan Argentina merupakan antara pasukan yang memiliki jurulatih serta barisan pemain berkelas dunia.

“Ingin saya tegaskan bahawa ia hanyalah satu perlawanan bola sepak yang biasa. Saya ingin sampaikan kepada semua bahawa ia tidak lebih daripada aksi bola sepak dan tidak perlu dijadikan sebagai provokasi.

“Kami akan menentang England yang merupakan sebuah pasukan hebat selain dibarisi pemain-pemain berkualiti. Mereka juga dibimbing seorang jurulatih berpengalaman dan memiliki mentaliti juara,” katanya.

Selain pertikaian Kepulauan Falkland, peminat-peminat The Three Lions juga masih belum dapat melupakan insiden ‘tangan tuhan’ di mana legenda Argentina, Diego Maradona menjaringkan gol menggunakan tangan ketika menewaskan mereka pada edisi 1986.

Sementara itu, Scaloni mengakui mereka perlu memperbaiki setiap kelemahan yang ada, lebih-lebih lagi ketika menyaksikan Argentina bergelut ketika mencatat kemenangan ke atas Cape Verde dan Mesir sebelum ini.

“Sekarang kami sudah berada di pentas separuh akhir dan ia merupakan satu penghormatan kepada pasukan. Bagaimanapun, kami tidak boleh leka kerana ia boleh membawa bencana kepada pasukan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN