SEPANG – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengakui teruja dengan cadangan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menyediakan tribune tempat duduk khas buat penyokongnya sempena Grand Prix (GP) Malaysia, Oktober depan.
Hakim Danish berkata, inisiatif yang disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif itu disifatkannya sebagai pembakar semangat selain meningkatkan motivasinya menjelang perlumbaan di laman sendiri.
Katanya, penghargaan yang diberikan SIC itu cukup bermakna terutama sokongan terhadap perkembangan kariernya.
“Saya pun baru dapat tahu berita ini sebaik tiba di Malaysia. Alhamdulillah, rezeki. Terima kasih kepada SIC bagi motivasi, bagi semangat dekat saya untuk berlumba di Sepang nanti pada bulan Oktober,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Danish berkata, dia bertekad membalas penghargaan itu dengan memberikan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri apabila beraksi di Litar Sepang.
Bagaimanapun, anak jati Terengganu itu enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi sebaliknya mahu terus mengekalkan prestasi konsisten yang dipamerkan sepanjang musim ini.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah meningkatkan prestasi pada setiap perlumbaan kerana percaya keputusan yang baik akan hadir sekiranya mampu mengekalkan rentak konsisten.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, tribune khas berkenaan diwujudkan sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian luar biasa Hakim Danish selain mengajak lebih ramai rakyat Malaysia hadir memberi sokongan kepada pelumba muda negara itu.
“Insya-Allah kita akan adakan satu tribune khas untuk Hakim Danish. Saya nak memanggil semua rakyat Malaysia datang ke MotoGP tahun ini. Kita meriahkan Sepang dan kita sokong wira negara kita,” katanya.
Menurutnya, perancangan awal menyaksikan tribune khas itu akan ditempatkan di kawasan Main Grandstand, dengan dua blok tempat duduk disediakan pada peringkat permulaan, namun jumlah itu boleh ditambah sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.
Beliau berkata, peminat yang sudah membeli tiket juga berpeluang menukar tempat duduk ke tribune khas berkenaan, manakala perincian lanjut termasuk pelbagai aktiviti sempena MotoGP Malaysia akan diumumkan pada sidang media khas yang dijadual berlangsung pada September depan. -KOSMO! ONLINE















