MELAKA – Seorang tahanan lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang ditempatkan di dalam sel sama dengannya di Penjara Sungai Udang, awal tahun ini.
Tertuduh, Muhammad Awal Hariul, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kira-kira pukul 11 malam di Sel 13, Penjara Sungai Udang, dalam daerah Melaka Tengah pada awal Januari 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Tertuduh yang tidak wakili peguam bagaimanapun tidak membuat sebarang rayuan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam. – KOSMO! ONLINE















