KANGAR – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis fentanyl sebanyak 39.9 liter di sebuah rumah di Bukit Keteri, Padang Besar awal bulan ini.
Tertuduh, Him Mat, 65, yang bekerja kampung hanya mengangguk faham selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa mengedar 39.9 liter fentanyl di sebuah rumah di Kampung Guar Musang, Bukit Keteri kira-kira pukul 5.50 petang, 1 Julai lalu.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, dia turut boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes akan disebut semula pada 8 Oktober depan.
Kosmo! pada 7 Julai lalu melaporkan polis merampas katrij vape dipercayai mengandungi dadah jenis fentanyl bernilai RM34.31 juta dalam beberapa siri serbuan berasingan di sekitar Padang Besar dan Arau, selain menahan beberapa individu bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE















