fbpx
ADZLI menunjukkan laluan migran untuk menyeludup masuk ke negara ini pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Jenayah babit etnik Rohingya di Kedah meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Kes jenayah membabitkan warga Myanmar termasuk etnik Rohingya di Kedah meningkat secara drastik sejak tahun lalu dengan kebanyakannya melibatkan jenayah kekerasan sesama mereka.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebanyak 39 kes jenayah melibatkan warga asing itu direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 65 kes sepanjang tahun lalu.

Kata beliau, jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 17 kes dengan 18 tangkapan pada 2023 dan 14 kes melibatkan 23 tangkapan pada 2024.

“Pada tahun lalu, kes meningkat kepada 65 dengan 75 tangkapan, manakala tahun ini dalam tempoh enam bulan sahaja sudah direkodkan 39 kes.

“Kalau dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu, memang kita lihat berlaku peningkatan dan polis memandang serius perkembangan ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Adzli berkata, hasil siasatan mendapati semua kes jenayah kekerasan termasuk bunuh dan mendatangkan kecederaan membabitkan warga itu termasuk etnik Rohingya adalah sesama mereka.

“Tiada kes bunuh atau mencederakan yang melibatkan masyarakat tempatan. Kebanyakannya berlaku dalam kalangan mereka sendiri.

“Hasil siasatan mendapati pergaduhan biasanya berpunca daripada aktiviti minum minuman keras tidak berdaftar ketika berkumpul pada waktu malam sehingga membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan,” ujarnya.

Beliau berkata, semua kes bunuh yang direkodkan sebelum ini berjaya diselesaikan dan suspek telah didakwa di mahkamah.

Selain jenayah kekerasan, katanya, kes lain yang kerap dikesan ialah kecurian kecil, penjualan rokok seludup, perjudian, kesalahan imigresen dan aktiviti penyeludupan kontraban.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, polis terus memperhebat operasi membanteras sindiket penyeludupan migran apabila seramai 37 tekong dan ahli sindiket serta 246 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata, majoriti tekong yang ditahan merupakan warga tempatan, selain terdapat pembabitan etnik Rohingya, Bangladesh dan Thailand sebagai ahli sindiket yang membawa masuk migran secara haram ke negara ini.

Adzli pada masa sama mendedahkan trend kemasukan etnik Rohingya dipercayai berubah ke kawasan perairan di Kuala Kedah, Kerpan, Yan dan Kuala Muda dengan menggunakan bot-bot kecil.

“Sebelum ini mereka banyak mendarat di kawasan utara Langkawi seperti Teluk Ewa dan Teluk Datai, namun hasil kawalan ketat didapati tiada pendaratan etnik tersebut di kawasan itu sejak dua bulan lalu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN