KUALA PILAH – Seorang lelaki ditahan selepas menunggang motosikal dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Kuala Pilah-Tampin berhampiran simpang Matrikulasi, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati kejadian pukul 8.20 malam itu berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki berusia 74 tahun dari arah Kuala Pilah dipercayai membelok ke simpang kanan secara mengejut.
“Pada masa sama, sebuah lagi motosikal dari arah Selaru yang ditunggang lelaki dipercayai mabuk menuju ke Pekan Kuala Pilah tidak sempat mengelak lalu melanggar sisi kanan motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, warga emas tersebut cedera parah di bahagian kepala dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
Tambahnya, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 53 tahun itu dipercayai menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol. – KOSMO! ONLINE















