KUALA TERENGGANU – Bot penambang tradisional Seberang Takir bakal dimodenkan dengan pengenalan e-bot, bot penambang elektrik yang dikuasakan dengan bateri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk tujuan inovasi e-bot tersebut.
“Sebelum ini, UTeM yang mempunyai kepakaran luas dalam teknologi bateri, mobiliti elektrik dan inovasi pengangkutan hijau pernah membantu kerajaan negeri memperkenalkan e-beca yang turut dikuasakan dengan bateri.
“Kini projek e-bot pula dirintis sebagai usaha mentransformasikan perkhidmatan bot penambang Seberang Takir,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Khazan Che Mat (Parti Pribumi Bersatu Malaysia – Seberang Takir) yang membangkitkan mengenai perancangan kerajaan negeri untuk menangani kemerosotan operasi bot penambang Seberang Takir.
Razali berkata, penggunaan e-bot akan menjadikan pengangkutan bot penambang Seberang Takir yang ikonik buat Terengganu lebih moden, selamat, mesra alam dan mampu berdaya saing.
Katanya, buat masa ini UTeM sedang melakukan kajian komprehensif bagi menilai pelbagai aspek teknikal, keselamatan, kos pelaksanaan, penyelenggaraan serta kesesuaian operasi e-bot di kawasan muara Sungai Terengganu.
“Kajian ini akan turut mengambil kira impak dan kebajikan pengusaha bot penambang sedia ada sebelum sebarang keputusan muktamad diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE















