PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia terlibat dalam insiden kebakaran sebuah premis komersial yang mengorbankan lebih 27 mangsa di Bangkok, Thailand semalam.
Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam kementerian itu berkata, ketika ini, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi memastikan sama ada terdapat rakyat negara ini yang terlibat dalam insiden berkenaan.
“Pada peringkat awal, kementerian mengesahkan tiada laporan bahawa rakyat Malaysia terjejas dalam kebakaran itu. Kedutaan akan terus memantau situasi di lokasi secara dekat,” katanya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Terdahulu, pihak berkuasa tempatan mengesahkan sekurang-kurangnya 27 mangsa terkorban, manakala 63 individu lagi dimasukkan ke hospital akibat cedera termasuk 22 mangsa berada dalam keadaan kritikal.
Siasatan rasmi telah dilancarkan oleh pihak berkuasa Thailand bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Susulan itu, rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Bangkok dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular, rakyat Malaysia digalakkan mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular.
“Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok menerusi di +66 2 340 5720 atau e-mel [email protected],” katanya. – KOSMO! ONLINE















