fbpx
Untuk memainkan fingerboard, seseorang itu perlu menggunakan jari telunjuk dan jari tengah.

Bermain ‘papan jari’ tidak sukar, bukan juga mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AWALNYA papan jari (fingerboard) yang dimiliki oleh pemuda itu merupakan hadiah daripada bapanya yang dianggap sekadar mainan koleksi.

Pada ketika itu, dia yang masih di sekolah rendah tidak menyangka bahawa papan jari yang merupakan papan luncur bersaiz mini itu mempunyai cara permainannya tersendiri.

Setelah dia terdedah dengan media sosial semasa berada di sekolah menengah, baru dia menyedari hal itu dan mula belajar cara sebenar bermain papan jari.

Bagaimanapun, pemuda itu, Rusyaidi Mazrie, 27, memberitahu, dia kemudian meninggalkan aktiviti bermain papan jari seketika semasa melanjutkan pelajaran di universiti sebelum kembali aktif semasa pandemik Covid-19.

Aktiviti tersebut dilihat semakin berkembang pasca-Covid.

“Saya banyak belajar bermain papan jari menerusi video-video di laman sosial yang mana ia menjadi hobi di masa lapang.

“Semasa era pandemik, saya kembali aktif dengan papan jari untuk mengisi masa lapang semasa di rumah dan bermain di tepi longkang serta merakamnya untuk kandungan media sosial,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di sebuah premis di kompleks beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, dia tidak menyangka bahawa aktiviti yang dilakukan sekadar hobi itu mendapat sambutan dan ramai yang ingin mengambil tahu tentang papan jari.

Fingerboard atau papan jari ialah versi mini kepada papan selaju (skateboard) yang direka untuk dikawal menggunakan jari, biasanya jari telunjuk dan jari tengah.

Walaupun kelihatan seperti permainan pelik atau alat mainan biasa, fingerboard telah berkembang menjadi satu hobi, sukan rekreasi dan komuniti kompetitif yang mempunyai peminat di seluruh dunia.

Fingerboard mempunyai semua komponen asas seperti papan selaju sebenar termasuk dek (deck), gandar (truck), roda, bearing dan pita cengkaman (grip tape).

Saiznya lazim sekitar 96 hingga 100 milimeter panjang dengan lebar antara 32 hingga 36 milimeter.

Model premium menggunakan dek kayu berlapis (plywood) seperti papan selaju sebenar, manakala model asas biasanya diperbuat daripada plastik.

Fingerboard sebenarnya mula mendapat perhatian sekitar akhir 1970-an apabila pemain papan selaju menggunakan papan mini untuk berlatih helah menggunakan jari ketika cuaca tidak mengizinkan mereka bermain di luar.

Namun, popularitinya melonjak pada penghujung 1990-an selepas jenama Tech Deck asal Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan fingerboard mini lengkap dengan grafik papan selaju sebenar. Produk ini menjadi fenomena di sekolah dan kedai permainan di seluruh dunia.

Papan jari kini mempunyai komuniti yang aktif di pelbagai negara termasuk Jepun, Jerman, Amerika Syarikat, Brazil dan beberapa negara Asia Tenggara.

Kongsi Rusyaidi yang aktif memperkenalkan aktiviti papan jari di media sosial miliknya dan komuniti sosial Jari Mati, di Malaysia, pengaruh papan jari sudah bertapak lebih sedekad, namun perkembangannya tidak sebesar papan luncur.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan dengan adanya media sosial, komuniti papan jari semakin berkembang dan ramai yang mula berminat untuk belajar serta menjadikan aktiviti ini sebagai hobi mereka.

“Namun begitu, kerana pengaruhnya tidak besar, untuk memiliki papan jari menelan kos yang agak tinggi dan kerana itu saya mengambil inisiatif mengeluarkan jenama sendiri iaitu Jari Mati supaya lebih ramai orang dapat memulakan langkah pertama mereka dengan hobi ini,” ujarnya.

Berkongsi cara bermain, Rusyaidi memberitahu papan jari dimainkan menggunakan dua jari iaitu jari telunjuk bertindak sebagai kaki hadapan dan jari tengah bertindak sebagai kaki belakang.

“Bermain fingerboard tidaklah sukar tetapi bukan mudah, ia memerlukan fokus dan teknik untuk membolehkan jari bertindak seperti kaki semasa bermain papan luncur.

“Sama seperti papan luncur, papan jari juga mempunyai gaya aksi yang boleh dikuasai seperti ollie, kickflip, heelflip, pop shove-it, 360 flip, grind, manual, boardslide dan lain-lain,” tambahnya.

Beberapa individu asyik memainkan fingerboard di sebuah premis di kompleks beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Kongsi Rusyaidi, harga papan jari biasanya menelan harga paling rendah RM150 untuk set asas dan ia tidak termasuk komponen lain seperti deck, grip tape, truck, wheel, bearing dan hardware yang dijual berasingan serta bahan-bahan untuk membuat taman mini papan jari.

Antara barangan untuk membuat taman mini terdiri daripada tanjakan (ramp), rail, platform, set tangga dan lain-lain sama seperti taman untuk bermain papan luncur tetapi versi mini.

Secara keseluruhan ia boleh menelan belanja minimum RM500 hingga boleh mencapai ribuan ringgit mengikut kualiti dan jenama barangan.

Katanya yang kini sedang menubuhkan kelab papan jari, pemain papan jari juga mempunyai tahap kemahiran mereka sendiri mengikut sejauh mana mereka menguasai aksi papan jari.

Tidak hanya itu, di Malaysia dan di peringkat luar terdapat pelbagai kejohanan serta festival papan jari yang dianjurkan untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu.

Selain itu, terdapat juga bengkel serta pengeluar dek artisan yang menghasilkan fingerboard secara buatan tangan dalam kuantiti terhad.

Perkembangan papan jari terutama di Malaysia telah menarik minat pelbagai lapisan umur.

Tinjauan di media sosial juga melihat aktiviti itu diminati oleh sebilangan netizen.

Seorang gadis dengan nama Nurin Nadhira di TikTok menunjukkan bagaimana proses pemasangan sebuah ‘fingerboard’ dengan menulis mesej ‘satu hobi yang tiada siapa pun memahami’ apabila seorang gadis lain turut kelihatan tertawa melihat dirinya memainkannya.

Hobi tersebut turut menarik minat Noah Syafi Naquiddin, 11, yang mula berjinak-jinak dengan dunia papan jari sejak melihat aktiviti itu dimainkan di kedai papan luncur bapanya.

Katanya, dia tertarik dengan papan jari kerana cara bermainnya yang unik dan menarik serta mudah dipelajari.

“Saya minat papan jari sejak melihat ramai abang-abang bermain di kedai ayah dan dari situ saya mula belajar.

“Di kedai ayah ada taman mini dan ramai yang datang bermain papan jari, saya juga masih belajar dan kini sudah mahir beberapa aksi asas,” katanya.

Bapa kepada Noah, Naquiddin Shah, 45, juga menyokong minat anaknya terhadap aktiviti papan jari kerana dia melihat hobi itu memberi impak positif kepada anaknya selain mengurangkan masanya dengan skrin.

Kongsinya yang juga merupakan pemilik kedai papan luncur Mohle Skateboards, menerusi papan jari dia melihat anaknya lebih fokus terutama dari aspek disiplin, kesabaran dan kreativiti dalam menghasilkan kombinasi aksi.

“Zaman sekarang golongan muda banyak menghabiskan masa dengan skrin dan bila anak saya berminat dengan papan jari saya sangat menggalakkan dia bermain, malah belajar dengan golongan lebih berpengalaman,” ujarnya yang turut menjual papan jari di premisnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN