JOHOR BAHRU – Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 terus menunjukkan peningkatan apabila mencatat 48.91 peratus setakat pukul 2 petang hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 1,132,152 daripada 2,682,642 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka di seluruh negeri.
Peratusan itu mengatasi kadar keluar mengundi pada tempoh sama semasa PRN Johor ke-15 pada 2022 yang merekodkan 39.71 peratus, melibatkan 1,022,412 daripada 2,574,835 pengundi berdaftar.
Peningkatan hampir 10 mata peratusan itu memberi petanda positif terhadap sambutan pengundi pada PRN kali ini, dengan orang ramai terus hadir ke pusat mengundi sepanjang sesi pagi hingga awal petang.
Proses pengundian di kesemua pusat mengundi dilaporkan berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang baik di kebanyakan kawasan, sekali gus membolehkan pengundi keluar mengundi tanpa gangguan.
SPR sebelum ini menggalakkan semua pengundi yang masih belum mengundi supaya hadir lebih awal ke pusat mengundi dan tidak menunggu sehingga saat-saat akhir bagi mengelakkan kesesakan.
Sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN Johor kali ini bagi menentukan kerajaan negeri yang baharu. – KOSMO! ONLINE















