KLANG – Seorang pekerja warga Bangladesh maut akibat melecur dalam kebakaran mesin dandang stim di sebuah kilang besi di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, hari ini.
Kejadian malang itu menimpa mangsa lelaki berusia 30 tahun yang mengalami lecur di seluruh anggota badan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 8.18 pagi tadi.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran melibatkan ‘boiler’ kilang penyetiman besi,” katanya hari ini.
Beliau menambah, mangsa telah disahkan meninggal dunia olah pegawai perubatan di lokasi berkenaan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE







