fbpx
Gambar Hiasan

PRN Johor: Cuaca buruk landa beberapa kawasan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan dan ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Johor ketika hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Menurut MetMalaysia, hujan diramalkan berlaku di daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Muar dan Pontian pada sebelah pagi.

Dalam pada itu, daerah Kluang, Kota Tinggi, Segamat dan Mersing dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang.

Suhu minimum di kebanyakan daerah dianggarkan 23 darjah Celsius, manakala suhu maksimum antara 33 hingga 34 darjah Celsius.

Lebih 2.7 juta pengundi biasa di Johor mula menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan negeri baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini.

Proses pengundian melibatkan 2,703,173 pengundi biasa berlangsung di 1,190 pusat mengundi yang dibuka di seluruh negeri membabitkan 4,918 saluran mengundi, selepas pengundian awal selesai pada 7 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati pemilih agar membuat semakan lokasi pusat mengundi dan saluran dengan lebih awal bagi melancarkan proses pengundian.

PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding dengan kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) bertanding di 33 kerusi.

Turut bertanding ialah Parti Bersama Malaysia (Bersama) dengan 15 calon, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) empat calon, manakala Parti Orang Asli Malaysia (POA) serta Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon. Enam calon Bebas turut bertanding. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN