PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) mengambil keputusan merehatkan 11 pegawainya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rasuah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pegawai terbabit akan direhatkan sehingga siasatan selesai bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam sebarang urusan rasmi yang berpotensi menjejaskan proses siasatan.
Menurut beliau, tangkapan membabitkan pegawai berkenaan dibuat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kita akan menunggu pihak SPRM menyelesaikan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Jalinan Strategik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama media di sini hari ini.
Zakaria berkata, JIM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salah laku dalam kalangan pegawai dan kakitangannya.
“Kita tidak akan melindungi mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat sama ada pegawai kanan atau pegawai bawahan. Jika mereka didapati melakukan kesalahan, tindakan yang sama akan diambil,” katanya.
Beliau berkata, JIM akan terus memberi kerjasama penuh kepada SPRM serta agensi penguat kuasa lain bagi memperkukuhkan ketelusan dan integriti jabatan.
Katanya, usaha itu tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan integriti penguatkuasaan, menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan serta memperkasakan integriti warga kerja JIM.
Sementara itu, Zakaria berkata seramai 834 pegawai imigresen dikenakan pelbagai tindakan tatatertib sepanjang tempoh 2023 hingga tahun ini, dengan 69 daripadanya dibuang kerja.
“Bagi tahun ini sahaja, 81 pegawai dikenakan tindakan tatatertib dan daripada jumlah itu, 14 pegawai telah dibuang kerja.
“Ini menunjukkan kesungguhan kita dalam menangani isu integriti dalam kalangan pegawai dan kakitangan imigresen,” katanya.
Semalam, media melaporkan SPRM menahan reman 33 individu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen.
Kesemua suspek dipercayai membenarkan warga asing berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan pekerjaan.
Tangkapan itu dibuat menerusi Op Layer di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM bersama SPRM negeri. – KOSMO! ONLINE















