JOHOR BAHRU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada pengamal media yang disifatkan berjaya mengekalkan liputan yang seimbang dan profesional sepanjang tempoh 14 hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, peranan media sama ada media elektronik, media cetak mahupun platform digital amat penting dalam memastikan rakyat memperoleh maklumat yang tepat sepanjang tempoh berkempen.
Menurut beliau, komitmen ditunjukkan wartawan di lapangan dan petugas di ibu pejabat media wajar diberikan pengiktirafan kerana berjaya menjalankan tugas secara profesional sehingga penghujung kempen.
“Saya ucapkan banyak terima kasih kepada rakan-rakan wartawan daripada media perdana, sama ada media elektronik atau media cetak.
“Saudara-saudari semua, sama ada yang berada di lapangan atau berada di stesen masing-masing di ibu pejabat, saya ucapkan banyak terima kasih,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Himpunan Munajat dan Doa BN di Bandar Putra Kulai, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, suasana liputan media pada PRN Johor kali ini amat berbeza berbanding sebelum ini apabila kebanyakan laporan disampaikan secara seimbang tanpa meminggirkan mana-mana pihak yang bertanding.
“Kali ini amat berbeza kerana liputannya cukup seimbang dan sangat profesional,” katanya.
Beliau berharap standard kewartawanan yang dipamerkan sepanjang kempen PRN Johor dapat dikekalkan dalam pilihan raya negeri lain selepas ini.
“Saya mengharapkan inilah yang akan berlaku di Negeri Sembilan dan Melaka, dan seterusnya pada pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Selain media arus perdana, beliau turut menghargai peranan media sosial yang menurutnya banyak membantu memperkenalkan calon-calon BN kepada pengundi sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, walaupun terdapat pelbagai serangan dan isu yang dimainkan di media sosial, keadaan itu tetap memberi ruang kepada BN untuk menjelaskan pendirian serta menjawab setiap dakwaan yang dibangkitkan.-KOSMO! ONLINE















