GEORGE TOWN – Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bakal mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib, esok.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu akan dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Law Choo Kiang di sini, hari ini.
Beliau berkata, seramai 19 lagi individu akan menerima anugerah Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri.
Menurutnya, istiadat penganugerahan itu akan berlangsung selama empat hari bermula esok di Dewan Sri Pinang di sini dengan seramai 1,221 individu akan menerima pengiktirafan negeri membabitkan 101 penerima Darjah Kebesaran serta 1,120 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan.
“Bakal penerima anugerah terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), usahawan-usahawan tempatan dan ahli-ahli Badan Sukarelawan.
“Empat sesi istiadat akan dijalankan iaitu pada 11 Julai 2026 (sesi pertama), 13 Julai 2025 (sesi kedua), 14 Julai 2025 (sesi ketiga) dan 15 Julai 2025 (sesi keempat),” katanya. – KOSMO! ONLINE















