fbpx
LIMA warga USIM terpilih menyertai dua program mobiliti akademik berprestij di Russia bulan ini.

Lima warga USIM ‘terbang’ ke Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila lima warga universitinya terpilih menyertai dua program mobiliti akademik berprestij di Russia bulan ini.

Tiga pelajar akan mengikuti “Russian Summer University 2026” di Kazan Federal University dari 6 hingga 19 Julai, manakala dua ahli akademik menyertai “Summer Institute for Young Lecturers and Researchers 2026” di Saint Petersburg Electrotechnical University dan Industrial University of Tyumen dari 20 Julai hingga 2 Ogos.

Dalam satu kenyataan, USIM memaklumkan tiga pelajar yang terpilih ialah Nurul Farmin Mohd Nor Azman dan Raudhatul Afiah dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, serta Nur Sabihah Hishamudin dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Dua ahli akademik yang mewakili universiti pula terdiri daripada Dr. Nur Sabrina Suhaimi dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang akan mengikuti program di Saint Petersburg Electrotechnical University, serta Dr. Nurul Hana Mas’od dari Fakulti Sains dan Teknologi yang akan menyertai program di Industrial University of Tyumen.

Menurut Pengarah USIM ‘Alamiyyah, Profesor Madya Dr. Sofia Hayati Yusoff, penyertaan itu membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan di samping memperluas jaringan akademik dan pengaruhnya di peringkat global.

“Program mobiliti antarabangsa seperti ini merupakan manifestasi komitmen USIM dalam melahirkan graduan dan ahli akademik yang mempunyai kompetensi global, kepekaan rentas budaya serta kemampuan memimpin dalam landskap pendidikan tinggi antarabangsa yang semakin dinamik.

“Penyertaan warga USIM di Russia turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan akademik global, penerokaan penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan modal insan yang mampu membawa aspirasi Integrasi Ilmu ke pentas dunia,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN