fbpx
HAALAND memiliki pengalaman berdepan pemain pertahanan England dan menjadi harapan Norway untuk mencipta jaringan. - AFP

Piala Dunia 2026: Norway letak impian besar ‘di kaki’ Haaland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIAMI – Pengendali Norway, Stale Solbakken menyifatkan Erling Haaland sebagai penyerang yang unik dan menjadi ayam tambatan pasukan menjelang pertemuan menentang England pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 awal pagi esok.

Menurut Solbakken, sukar untuk benteng pertahanan The Three Lions mengekang kelincahan Haaland walaupun sudah biasa dengan helahnya yang mewakili Manchester City dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak empat tahun lalu.

Solbakken berkata, kebanyakan pemain bertaraf dunia sentiasa mahu mendapatkan bola tetapi Haaland lebih tenang serta tahu peranan sebenarnya di atas padang selaku penyerang utama.

“Semua pemain hebat mahu menunjukkan kemampuan mereka. Jika mereka tidak banyak terlibat dalam permainan, mereka akan bergerak mencari bola seolah-olah berkata, ‘saya di sini’.

“Namun, Haaland berbeza. Dia tahu apa yang terbaik untuk dirinya dan bagaimana dia boleh membantu pasukan dan saya tidak pernah melihat mana-mana pemain beraksi seperti itu sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Solbakken menolak tanggapan Norway memiliki kelebihan kerana ramai pemain kebangsaan beraksi di EPL dan sudah biasa berdepan bintang-bintang England.

Malah, Solbakken turut menggunakan perang psikologi dengan mendakwa dua pemain paling berpengaruh England, Harry Kane dan Jude Bellingham tidak beraksi di EPL.

“Saya tidak pasti sama ada itu satu kelebihan tetapi dua pemain terbaik tidak mewakili kelab EPL. Kane bermain di Jerman, manakala Bellingham beraksi di Sepanyol,” katanya.

Sementara itu, Haaland yang meledak tujuh gol pula menganggap segala tekanan terarah kepada England yang menjadi pilihan ke peringkat separuh akhir.

“England antara pasukan pilihan. Saya harap media terus memberi tekanan kepada mereka. Penyokong England juga sepatutnya yakin pasukan mereka akan menang nanti,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN