fbpx
Gambar hiasan

Tiket ETS, bas ke Johor habis dijual petunjuk awal ramai pulang mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan bas ke Johor telah habis dijual sejak seminggu lalu yang menjadi petunjuk awal bahawa ramai rakyat negeri itu akan pulang bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua tiket tambahan perkhidmatan ETS dari KL Sentral ke Johor serta dari Johor Bahru Sentral ke arah utara menerima sambutan yang amat menggalakkan.

“Semua tiket pengangkutan awam ke Johor habis terjual sejak beberapa hari lalu dan ini satu petanda yang baik untuk peratusan keluar mengundi Sabtu ini.

“Semua tiket tambahan ETS kita juga mendapat sambutan yang baik. Kita tambah trip perjalanan dari KL Sentral ke Johor dan Johor Bahru Sentral,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengumumkan calon DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Seremban Jaya dan Pelancaran Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Seremban Jaya di sini hari ini.

Anthony berkata, terdapat dua corak utama pergerakan pengundi menggunakan kemudahan pengangkutan awam ETS.

“Mereka yang bekerja di Lembah Klang pulang ke Johor menggunakan ETS, manakala rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menggunakan tren dari Johor Bahru untuk pulang ke kawasan seperti Segamat, Labis dan Kluang,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu turut memaklumkan kebanyakan tiket bas ekspres juga telah habis dijual, selain terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan bas khas untuk membawa warga Johor pulang mengundi di kampung halaman.

Beliau berkata, situasi itu merupakan petanda positif terhadap peningkatan penyertaan pengundi pada pilihan raya kali ini berbanding sebelumnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN