JOHOR BAHRU – Aktivis politik, Chegubard didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut dua tahun lalu.
Hakim Rasidah Roslee menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan yang mewakili Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara 20 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Sebelum hukuman diputuskan, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Chegubard memohon supaya anak guamnya tidak dikenakan hukuman penjara atas alasan tertuduh merupakan pesalah kali pertama.
Beliau berkata, anak guamnya turut memberi kerjasama yang baik sepanjang kes berlangsung selama dua tahun.
Selain itu, Chegubard dilihat berperanan sebagai ‘whistle blower’ bagi kes-kes berprofil tinggi yang menggemparkan negara yang membawa kepada siasatan pihak berkuasa.
“Kami memohon mahkamah mengambil kira anak guam sebagai aktivis politik dan ahli parti baharu, Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang baru diterima sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN).
“Chegubard dijangka bertanding sebagai calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak lama lagi.
“Oleh itu, kami memohon hukuman denda diberikan dan jumlah denda adalah di bawah RM2,000 bagi membolehkan anak guam kami bertanding pada PRN,” katanya.
Sementara itu, dalam hujahan pemberatan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman berkata, tertuduh bukanlah pesalah muda malah mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai undang-undang.
“Oleh kerana kesalahan dibuat pada usia 46 tahun, sepatutnya pada usia itu tertuduh sudah menunjukkan kematangan untuk hidup secara harmoni dalam negara.
“Tertuduh juga mempunyai pengetahuan tentang undang-undang, tetapi tetap memilih untuk membuat hantaran yang berbentuk menghasut. Denda semata-mata tidak memadai dalam kes ini,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Chegubard didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di media sosial pada pukul 6.30 petang, 26 April 2024.
Dalam hantaran itu, tertuduh mengaitkan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua individu didakwa taikun judi dengan projek kasino di Forest City.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman dan dihadiri peguam pemerhati dari Majlis Peguam Malaysia, Cheong Wen Yie. -KOSMO! ONLINE














