BAGAN SERAI – Hasrat seorang remaja perempuan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang hampir terkubur akibat kekangan kewangan keluarga akhirnya menjadi kenyataan apabila pihak universiti tampil menjemputnya sendiri di kediamannya di Parit Jawa untuk dibawa terus ke kampus bagi mendaftar.
Pelajar terbabit, Nurul Amira Abdul Hamid, 18, sebelum ini menerima tawaran mengikuti Program Pusat Asasi Stem di UMT, namun hampir melepaskan peluang berkenaan kerana tidak mampu menanggung kos permulaan pengajian selain berdepan masalah pengangkutan.
Naib Canselor UMT, Profesor Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihak universiti mengambil inisiatif turun padang selepas dimaklumkan mengenai kesukaran yang dihadapi pelajar berkenaan bagi memastikan remaja itu tidak tercicir daripada menyambung pengajian hanya disebabkan faktor kewangan.
Menurut beliau, lawatan itu bukan sekadar menyampaikan bantuan kewangan, malah bagi membawa Nurul Amira terus ke kampus universiti untuk melengkapkan urusan pendaftaran dan penempatan di kolej kediaman.
“Apabila kami menerima maklumat bahawa pelajar ini tidak dapat meneruskan pengajian kerana masalah kewangan keluarga, kami merasakan menjadi tanggungjawab universiti untuk membantu.
“Hari ini kami hadir sendiri bertemu keluarga dan membawa Nurul Amira ke kampus supaya beliau dapat mendaftar serta memulakan pengajian tanpa terus dibelenggu masalah kewangan dan pengangkutan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parit Jawa, hari ini.
Sementara itu, Nurul Amira berkata, mulanya dia bercadang menolak tawaran berkenaan kerana keluarganya tidak mampu menyediakan wang bagi menampung kos kemasukan ke universiti.
Katanya, daripada jumlah yuran pendaftaran sebanyak RM1,449, beliau hanya mampu menjelaskan RM400, selain memikirkan kos perjalanan ke Terengganu kerana tiada ahli keluarga yang dapat menghantarnya.
“Saya hampir menolak tawaran itu dan bercadang bekerja terlebih dahulu untuk mengumpul wang sebelum menyambung pengajian di tempat lain yang lebih dekat.
“Saya bersyukur kerana pihak UMT sudi membantu sehingga saya dapat meneruskan impian melanjutkan pengajian,” katanya.- KOSMO! ONLINE















