PETALING JAYA – Penyanyi Zizi Kirana mendedahkan lagu baharunya berjudul Yang Tinggal yang turut menampilkan Yasin Sulaiman dan Malique dirakam di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Menurut Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, pihak label iaitu Icon Records meminta kebenaran daripada pihak hospital untuk melakukan rakaman bahagian Yasin di hospital berkenaan.
“Ketika Malique beritahu saya tentang rancangan menerbitkan lagu ini, saya berada di atas kapal menyertai Sumud Flotilla.
“Kemudian ketika saya di Dubai, dia beritahu saya dia mahukan suara lelaki dalam lagu ini. Lelaki yang boleh menyanyi bahasa Arab. Dalam fikirannya ketika itu mahukan Maher Zain.
“Tetapi menurut pemilik Icon Records iaitu Iman Tang, proses untuk mendapatkan Maher Zain mungkin memakan masa. Jadi saya cadangkan nama abang Yasin Sulaiman. Kerana saya memang sudah lama ingin bekerjasama dengannya.
“Kita tahu proses itu mungkin sukar kerana Yasin berada di hospital. Tetapi alhamdulillah Allah permudahkan jalan, permohonan kami diluluskan,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu tersebut di sini, hari ini.
Berkongsi lanjut tentang proses rakaman lagu tersebut, kata Zizi, dia bersama Iman dan Malique pergi ke hospital bahagia tersebut pada November tahun lalu untuk rakamkan bahagia Yasin.
“Kita bawa semua kelengkapan untuk proses rakaman ke sana. Pihak hospital memberi kami sebuah bilik. Proses rakaman dilakukan ketika tempoh waktu lawatan selama dua jam.
“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar — Yasin dah siapkan lirik bahagiannya sebelum kami ke sana,” jelasnya.
Berkongsi tentang detik pertemuan mereka bertiga, kata Zizi dia terharu dan tidak menyangka dapat melihat reunion di antara Malique dan Yasin selepas 20 tahun mereka tidak bertemu.
“Saya sebenarnya tak sangka Malique akan ikut ke sana. Dia seorang yang tidak suka berjalan jauh. Bila di sana saya lihat Malique tersenyum melihat Yasin dan mereka saling berpelukan.
“Saya rasa macam adik bongsu yang ikut abang long jumpa abang ngah. Sungguh mengharukan,” kongsinya.
Zizi turut berharap lagu ciptaan Malique dan Tripdisz itu bakal mengulangi fenomena lagu Alhamdulillah yang pernah popular 20 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














