LIPIS – Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila rumah milik anaknya di Kampung Kuala Kechau di sini rosak selepas dipercayai dirempuh sekumpulan gajah liar yang memasuki kawasan kampung untuk mencari makanan awal pagi semalam.
Kejadian yang disedari kira-kira pukul 6.30 pagi itu turut menyaksikan kira-kira lima batang pokok kelapa tumbang, sebelum sebahagiannya menghempap bahagian dapur rumah berkenaan.
Mohd. Zukri Ismail, 64, berkata, dia mengetahui kejadian tersebut selepas dimaklumkan penduduk sebelum bergegas ke rumah itu untuk melihat sendiri keadaannya.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, dia mendapati beberapa batang pokok kelapa tumbang dengan sebahagiannya menghempap dapur rumah sehingga menyebabkan kerosakan.
“Mungkin gajah itu masuk ke kampung pada tengah malam ketika semua orang tidur. Saya percaya haiwan itu datang mencari makanan,” katanya.
Ujarnya, selain merosakkan rumah, kejadian itu turut menyebabkan sebatang pokok kelapa tumbang menghempap tiang elektrik mengakibatkan kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus.
Tambahnya, rumah tersebut milik anaknya yang kini bertugas sebagai guru di Sarawak dan dia diamanahkan untuk menjaga kediaman berkenaan sepanjang ketiadaan anaknya.
“Mujur ketika kejadian tiada sesiapa berada di dalam rumah, jika tidak mungkin kejadian lebih buruk berlaku,” ujarnya.
Menurutnya, kejadian itu merupakan insiden pertama melibatkan gajah liar di kampung berkenaan tahun ini.
Jelasnya, kali terakhir gangguan gajah berlaku pada 2024 apabila haiwan liar itu memasuki kampung dan memusnahkan tanaman penduduk sebelum tindakan diambil oleh Jabatan Perlindungan
Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan menangkap gajah terbabit untuk dipindahkan ke habitat asal.
“Sebab itu kami agak terkejut kerana sudah lama tidak berlaku kejadian seperti ini. Bila dimaklumkan pagi tadi, memang rasa takut melihat keadaan rumah dan pokok-pokok yang tumbang,”katanya.
Beliau berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Penduduk katanya, berasa tentang bimbang keselamatan mereka.














