SHAH ALAM – Pisau yang digunakan suspek untuk menikam rakan di sebuah sekolah menengah di Banting pada Isnin lalu dipercayai diseludup masuk dengan disorokkan di dalam beg galasnya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, remaja perempuan berusia 15 tahun itu turut mengambil kesempatan memasuki kawasan sekolah apabila pintu pagar utama didapati terbuka.
Katanya, senjata juga dibeli secara dalam talian.
“Senjata tersebut diletakkan di dalam beg galas yang dibawa bersama suspek itu dan memasuki ke dalam sekolah apabila pintu pagar utama tersebut terbuka dan tidak tertutup.
“Siasatan turut mendapat suspek ke sekolah dengan menaiki kenderaan e-hailing,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Mengulas sama ada berlaku kelemahan daripada aspek kawalan keselamatan sekolah, Shazeli berkata, perkara itu tidak boleh disimpulkan sebagai kecuaian pihak pengawal keselamatan.
“Tidak boleh dikatakan kelemahan pihak sekolah. Ini kerana kita perlu lagi melihat mungkin pada waktu tersebut pintu pagar dibuka disebabkan ada kemasukan ataupun individu yang keluar.
“Apabila proses pagar tersebut dibuka dan mungkin dalam proses nak tutup, suspek mengambil peluang memasuki kawasan sekolah,” katanya.
Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek telah lapan bulan tidak bersekolah dan belajar dari rumah kerana dikatakan menghadapi masalah kesihatan.
“Suspek juga pernah terlibat dalam satu insiden terjun dari bangunan sekolah pada penghujung tahun lalu,” katanya.
Berhubung latar belakang keluarga suspek, Shazeli berkata, remaja itu dipercayai mempunyai isu tekanan emosi dan kemurungan, namun punca sebenar masih dalam penilaian pakar serta siasatan lanjut.
“Polis mengesahkan ada menerima satu kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori austime di atas nama suspek,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














