PETALING JAYA – Peranan guru perlu dikembalikan kepada kedudukannya yang sebenar bagi membendung gejala buli yang semakin membimbangkan di sekolah, asrama, institusi pengajian dan alam siber.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu hantaran si lama Facebook berkata, kes buli bukan sahaja menyebabkan mangsa mengalami trauma, hilang keyakinan diri, malah terdapat kes yang meragut nyawa.
Menurutnya, lebih menyedihkan apabila sebahagian pembuli menganggap perbuatan mereka sekadar gurauan, sedangkan Islam menganggap setiap ejekan, penghinaan dan perbuatan yang menyakiti orang lain sebagai satu bentuk kezaliman.
Beliau berkata, antara faktor yang menyumbang kepada keadaan itu ialah peranan guru yang semakin terbatas untuk bertindak serta mendidik murid.
“Peranan guru perlu dikembalikan kepada kedudukannya yang sebenar. Guru wajib dihormati, namun tetap terbuka kepada teguran serta dipandu oleh agama, akhlak, undang-undang dan kebijaksanaan,” katanya.
Beliau berkata, apabila guru hilang kewibawaan, sekolah kehilangan tiangnya, manakala apabila guru takut menegur, murid pula kehilangan bimbingan.
Dalam hantaran sama, Zulkifli turut berkongsi kisah tokoh ulama, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi yang pernah menceritakan pengalaman semasa kecil apabila hanya melihat sebatang rotan yang tergantung di hadapan kelas sudah cukup menimbulkan rasa gerun sehingga mendorongnya belajar bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat atau malas. – KOSMO! ONLINE














