ALOR GAJAH – Perjalanan seorang guru bersama tiga pelajar untuk pulang ke sekolah selepas menyertai kejohanan ping pong bertukar tragedi apabila dua daripadanya parah setelah kereta dinaiki terlibat nahas di Solok Duku, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, guru pengiring berusia 24 tahun dan seorang pelajar tingkatan empat yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah akibat tersepit di dalam Proton Saga dinaiki mereka.
Dua lagi pelajar berusia 15 dan 16 tahun mengalami patah kaki serta cedera akibat hentakan telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Tc. Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.24 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah bergegas ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Norhayati Rahmat mengesahkan berlaku kemalangan membabitkan sebuah Proton Saga dengan lori.
“Komander operasi melaporkan terdapat lima mangsa terlibat dalam kemalangan itu. Empat mangsa menaiki Proton Saga dengan dua daripada parah, manakala pemandu lori berusia 46 tahun terselamat.
“Operasi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 10 minit menggunakan peralatan hydraulic rescue tools,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, anggota bomba di lakasi turut berjaya menyelamatkan harta benda milik mangsa selepas terdapat cubaan individu tidak bertanggungjawab mengambil barangan serta wang peribadi milik guru terbabit.
“Semua barangan itu berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan, manakala operasi bomba tamat sepenuhnya pada pukul 4.38 petang selepas lokasi kejadian dipastikan selamat,” katanya.
Difahamkan, kesemua mangsa daripada Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab dan nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke sekolah selepas menyertai Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Ping Pong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Cheng. – KOSMO! ONLINE














