fbpx
Anggota polis membawa keenam-enam tertuduh untuk didakwa atas pertuduhan menyeludup 10 PATI warga Bangladesh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

Enam tekong darat didakwa seludup 10 PATI Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Enam tekong darat termasuk dua wanita dan seorang lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh di sebuah rumah di Machang dekat sini pada bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Arif Abd Halim, 22, Mohamad Hazran Mohd. Daud, 34, Mohd. Shamsuri Yusoff, 45, Norazalina Mohamad, 40, Nur Aliya Natasya Abdul Rahman, 20, dan Muhamad Amirul Aileh, 30, yang merupakan warga Thailand selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Nik Muhamad.

Pengakuan tidak direkodkan daripada kesemua tertuduh berikutan kes penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, keenam-enam tertuduh bersama Wan Mohd. Zulfadli Wan Hassan, 37, yang masih bebas didakwa menjalankan aktiviti penyeludupan 10 migran warga Bangladesh di sebuah rumah di Taman Desa Mas, Kampung Sungai Mas dekat Machang kira-kira pukul 8 pagi pada 11 Jun 2026.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Kamilah Che Ibrahim dan Norazalina diwakili peguam, Ahmad Nurie Abd. Rahman manakala lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN