VANCOUVER – Pengendali Switzerland, Murat Yakin menyifatkan ketenangan Gregor Kobel menjadi kunci kejayaan pasukannya menyingkirkan Colombia menerusi penentuan sepakan penalti sekali gus menamatkan penantian 72 tahun untuk kembali ke suku akhir Piala Dunia.
Yakin berkata, kemenangan 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit membuktikan pemainnya memiliki kesabaran dan kebijaksanaan untuk mengharungi tekanan di pentas terbesar bola sepak dunia.
“Kami berjuang dengan luar biasa hari ini (semalam). Ia memerlukan kecerdikan dan kesabaran. Akhirnya kami memastikan kemenangan menerusi penentuan penalti.
“Kami akhirnya berjaya memecahkan penantian. Gregor Kobel melakukan tugas yang sangat baik ketika kami diasak lawan. Sebab itu saya sangat gembira buat semua pemain dan penyokong kami di tanah air,” katanya.
Yakin menegaskan, aksi cemerlang Kobel bukan hanya diukur menerusi dua sepakan penalti yang diselamatkannya, sebaliknya bermula sejak wisel pertama apabila sentiasa memberikan keyakinan kepada benteng pertahanan Switzerland.
“Orang hanya akan mengingati dua sepakan penalti yang diselamatkannya, tetapi saya mengingati segala-galanya sebelum itu. Kedudukan, komunikasi dan ketenangan yang diberikannya kepada barisan pertahanan,” jelasnya.
Menurut Yakin, penjaga gol berusia 28 tahun itu membuktikan mentaliti luar biasa apabila tidak panik meskipun Manuel Akanji gagal menyempurnakan sepakan penalti Switzerland, sebaliknya terus fokus untuk memikul tanggungjawab pasukan.
“Ramai fikir penjaga gol hanya dinilai melalui aksi menyelamat yang hebat. Gregor membina kariernya dengan membuat keputusan yang tepat pada waktu yang tepat. Bola sepak mungkin hanya mengingati aksi menyelamat penaltinya, tetapi saya akan sentiasa mengingati mentalitinya,” katanya.
Switzerland akan meneruskan cabaran dengan berdepan juara bertahan, Argentina pada aksi suku akhir yang dijadual berlangsung Ahad ini di Stadium Kansas City. – AGENSI














