PETALING JAYA – “Tiada maaf bagimu.”
Demikian penegasan pemilik Skop Production, Datuk Yusof Haslam terhadap mana-mana pelakon di bawah syarikatnya yang terpalit dengan penyalahgunaan dadah.
Penerbit drama kepolisan Gerak Khas itu menyatakan pendirian susulan penahanan seorang pelakon yang membintangi drama Gerak Khas Undercover 2.0 bagi membantu siasatan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya, pihak Skop Productions tidak berkompromi soal integriti dengan menggugurkan pelakon terbabit serta-merta meskipun hanya berbaki dua episod untuk menamatkan penggambaran.
“Penggambaran tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi selepas dimulakan sejak Disember 2025. Kita baru buat majlis pelancaran dan dah disiarkan pun untuk minggu kedua.
“Ikutkan memang dia pun masih ada banyak babak lagi untuk dua episod terakhir siri ini, tetapi kita nekad buat keputusan tegas.
“Kalau drama ini disambung untuk musim akan datang pun, nama dia tiada dalam senarai. Kalau kami tahu lebih awal, memang takkan ambil dia,” katanya kepada Kosmo! Online.
Yusof berkata, sejak awal lagi dia sudah mengingatkan semua pelakon dan kru agar menjauhi dadah, hiburan melampau serta sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan nama baik pasukan produksi serta polis.
“Saya selalu tekankan soal integriti. Saya pesan kepada semua, jangan terlibat dengan dadah atau benda yang boleh merosakkan imej pasukan.
“Tapi kita tak mampu kawal apa yang mereka buat di luar waktu bekerja. Anak ramai pun, seorang dua tetap ada yang buat hal. Dah boleh fikir buruk baik. Takkan kita nak ikut ke mana-mana,” ujarnya.
Ditanya lagi mengenai maklum balas individu terbabit, Yusof mendedahkan pelakon itu sempat merayu agar tidak dibuang, namun dia tetap dengan keputusan tersebut.
“Dia merayu kepada saya, minta dihabiskan penggambaran. Saya cakap, ‘no, enough is enough. I have to drop you.’ (Cukup, saya kena gugurkan awak).
“Saya beritahu dia, untuk produksi Skop selepas ini memang saya tak akan ambil lagi. Apatah lagi untuk drama kepolisan.” katanya.
Menurut Yusof, pelakon berkenaan sebelum ini mempunyai rekod disiplin yang baik sepanjang hampir lapan tahun bersama Gerak Khas, namun perkara yang berlaku kali ini amat mengecewakannya.
“Selama ini tiada masalah disiplin pun. Sebab itu saya ambil dia untuk naskhah terbitan TVS ini. Apabila jadi macam ini, saya memang dukacita.
“Bagi saya, dia sendiri yang membakar kariernya. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah tempias turut terkena kepada produksi yang sedang kami bangunkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Yusof berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada semua pelakon serta kru industri agar sentiasa menjaga disiplin dan integriti.
Terdahulu media melaporkan seorang pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal, ditahan selepas disyaki positif dadah methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Aktres terbabit ditahan bersama 17 individu lain ketika serbuan dijalankan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














