JASIN – Sebanyak 13 buah rumah di Kampung Asam Kumbang, Bemban dekat sini terjejas dalam kejadian banjir kilat susulan hujan lebat berterusan selama lebih dua jam awal pagi tadi.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati paras air telah mencecah lebih satu meter sehingga menenggelamkan kediaman serta beberapa kenderaan milik penduduk, sekali gus mengakibatkan kerugian besar kepada mangsa.
Salah seorang penduduk, Huzir Ali, 60, berkata, hujan lebat bermula kira-kira pukul 7 pagi sebelum air mula naik dengan cepat sehingga menyebabkan semua barangan dalam rumah termasuk perabot dan perkakas elektrik musnah.
“Air naik lebih satu meter dan dalam masa singkat habis satu rumah ditenggelami, malah motosikal saya turut tenggelam, manakala semua perabot, barangan elektrik dan kelengkapan rumah rosak. Saya paling bimbang bekalan elektrik kerana boleh membahayakan nyawa, mujur bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang membantu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.
Beliau mendakwa kejadian banjir semakin buruk sejak pembangunan kawasan perumahan berhampiran selain keadaan sungai yang memerlukan penyelenggaraan secara lebih berkala.
Tinjauan lanjut Kosmo! di Kampung Lubuk Kasau berhampiran mendapati, beberapa kediaman turut terjejas dan ditenggelami air bah.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka kerana kebanyakan mangsa memilih untuk berlindung di kediaman saudara-mara atau kembali ke rumah masing-masing selepas keadaan banjir pulih. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram














