fbpx
AHMAD ZAHID (dua dari kiri) bersama Wan Rosdy (kiri) dan Anwar (tiga dari kiri) pada sambutan Hari Peneroka Felda dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di Maran hari ini.

Penstrukturan KPF dijangka selesai hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARAN – Kemelut penebusan saham ahli serta bayaran tertunggak kepada pemiutang Koperasi Permodalan Felda (KPF) dijangka menemui jalan penyelesaian selepas proses penstrukturan semula koperasi itu dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penstrukturan berkenaan menjadi langkah penting bagi memulihkan kedudukan kewangan KPF selain menjaga kepentingan ahli yang terkesan.

“Kita mesti menangani permasalahan mereka yang membeli saham KPF yang terpaksa meminjam atau menjual hartanah mereka dengan satu jumlah yang agak besar bagi individu itu.

“Oleh sebab itu, penstrukturan yang telah dikemukakan kepada saya akan dilakukan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini Insya Allah boleh diselesaikan. Bayaran tertunggak juga untuk beberapa pemiutang akan diselesaikan dalam tempoh yang sama dengan pengstrukturan seperti yang telah saya sebutkan tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Peneroka Felda dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, KPF memerlukan kira-kira RM350 juta bagi tujuan membayar semula penebusan saham ahli yang mahu mengeluarkan pegangan masing-masing berikutan pulangan dividen yang rendah akibat cabaran pasaran saham dan hartanah.

Selain itu, katanya, koperasi berkenaan turut memerlukan sekitar RM150 juta bagi menyelesaikan beberapa bayaran tertunggak kepada pemiutang.

“Perkara ini sedang ditangani menerusi pelaksanaan penstrukturan semula aset-aset KPF yang kini sedang dilakukan bagi mengembalikan kestabilan kewangan koperasi berkenaan,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN