PETALING JAYA – Tiga sekeluarga termasuk dua pengarah syarikat pengeluar dan pemproses padi serta beras ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan pembiayaan bernilai kira-kira RM20 juta.
Pembiayaan itu dipercayai dipohon daripada sebuah institusi kewangan pembangunan menerusi dana Kemudahan Modal Kerja Perdagangan-I (Trade Working Capital Financing) kononnya bagi urusan pembelian padi dan beras, namun transaksi tersebut dipercayai tidak pernah berlaku.
Menurut sumber, seorang daripada suspek yang juga pengurus operasi berusia lingkungan 30-an direman selama lima hari sehingga 11 Julai ini selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Eliana Ismail di Mahkamah Sivil Alor Setar, pagi tadi.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Setar.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang merupakan ahli keluarga dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu pada tahun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua lagi suspek lelaki berusia lingkungan 60-an yang merupakan pengarah syarikat bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas selesai dirakam keterangan.
Menurutnya, kesemua suspek dipercayai mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan pembiayaan untuk pembelian padi dan beras, sedangkan urusan pembelian berkenaan tidak pernah dilaksanakan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














