LIPIS – Cubaan seorang lelaki tempatan meloloskan diri daripada pemeriksaan di sekatan jalan raya berakhir dengan kemalangan apabila kereta jenis BMW dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah tangki air berhampiran sebuah kedai makan di Kilometer 23, Jalan Lipis-Merapoh dekat Padang Tengku di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, lelaki berusia 45 tahun terbabit dipercayai membawa lima warga Myanmar dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu terbabit bertindak memecut laju selepas enggan berhenti untuk pemeriksaan di sekatan jalan raya di Kilometer 28, Jalan Lipis-Merapoh.
“Apabila sampai di sekatan jalan raya di Kilometer 28 Jalan Lipis-Merapoh, pemandu kereta telah melarikan diri dari pemeriksaan di sekatan jalan raya dan terus memecut laju menuju ke arah Lipis.
“Apabila tiba di Kilometer 23 Jalan Lipis-Merapoh, kereta yang dipandu oleh lelaki tersebut telah terbabas dan melanggar tangki air di hadapan sebuah kedai makan di tepi jalan sebelah kiri arah ke Lipis,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu serta dua penumpang wanita warga Myanmar cedera sebelum ketiga-tiga mereka ditahan bagi membantu siasatan.
Tambahnya, dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar yang melarikan diri sejurus selepas kemalangan berlaku kemudiannya ditahan pada pukul 8.45 pagi hari ini. – KOSMO! ONLINE














