LIPIS – Ketika harga Musang King merudum akibat lambakan bekalan, durian premium tupai king yang mula gugur di sini sejak minggu ini pula mencuri perhatian apabila dijual pada harga mencecah RM120 sekilogram.
Pengusaha kebun durian, Chin Wai Kian, 46, berkata, satu-satunya pokok durian tupai king yang sedang berbuah di kebunnya di Kampung Rengai di sini mula mengeluarkan hasil selepas 10 tahun ditanam.
Menurutnya, meskipun dijual pada harga yang tinggi, keseluruhan hasil sulung daripada pokok berkenaan telah habis ditempah oleh penggemar raja buah.
“Pokok itu mula menggugurkan buah pada minggu ini dengan pengeluaran sekitar 50 biji dan sebahagian telah ditempah lebih awal oleh pelanggan tetap.
“Ini adalah hasil pertama daripada pokok itu pada tahun ini. Walaupun saya ada lebih 100 pokok tupai king yang telah diklon, hanya satu pokok asal yang sudah berbuah, manakala selebihnya masih dalam peringkat pembesaran,” katanya di premis perniagaan, Durian Kingdom di Bandar Lipis di sini semalam.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada penjawat awam serta peminat durian premium dari sekitar Lipis, Kuantan dan Gua Musang, Kelantan.
Katanya, harga durian itu bergantung kepada gred dan usia pokok, iaitu antara RM90 hingga RM120 sekilogram, setanding harga yang ditawarkan di Pulau Pinang.
“Keistimewaan tupai king terletak pada rasa isinya yang tebal, unik beraroma dengan sedikit rasa pahit berkrim yang menjadi kegemaran penggemar durian premium.
“Biasanya pokok yang lebih tua biasanya menghasilkan rasa pahit yang lebih ketara dan lebih digemari sesetengah pelanggan, manakala pokok muda lebih manis.
“Ramai yang kata rasanya seperti gabungan musang king dan black thorn kerana teksturnya yang lembut serta mempunyai keseimbangan rasa manis dan pahit,” katanya.
Mengulas mengenai keadaan pasaran semasa, Chin berkata, musim gugur durian di Pahang bermula bulan lalu, namun harga musang king tidak lagi semeriah beberapa tahun lalu berikutan lambakan pengeluaran.
“Dahulu satu bakul durian premium boleh mencecah kira-kira RM2,000, tetapi sekarang sekitar RM200 sahaja.
“Walaupun harga menurun, kami masih memperoleh keuntungan, cuma tidak seperti dahulu ketika bekalan masih terhad dan permintaan sangat tinggi,” katanya.














