IPOH – Pelan Perak Sejahtera 2030 akan ditambah baik bagi memastikan pertumbuhan pesat ekonomi memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat negeri terutamanya melibatkan peluang pekerjaaan, perniagaan serta kesejahteraan bersama.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi memastikan pelan itu kekal relevan menuju 2030, kerajaan negeri akan melaksanakan kajian separuh penggal meliputi penyelarasan indikator pemantauan, penambahbaikan agenda dan ‘flagship’ serta pemutihan Dashboard Perak Sejahtera 2030.
“Ini mengambil kira keberkesanan pelaksanaan media sedia ada, dapatan libat urus, Persidangan Penyelidikan Dasar Perak 2026, kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan trend ekonomi baharu.
“Tema Hasil Dirasa, Keyakinan Dibina menjadi asas kepada gerak kerja seterusnya supaya Perak Sejahtera 2030 tidak hanya kekal sebagai dokumen perancangan tetapi terus menjadi kerangka kerja yang hidup, dilaksana dan memberi makna kepada kehidupan rakyat,” katanya kepada pemberita di Hotel Casuarina Meru di sini hari ini pada Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Keempat Perak Sejahtera 2030.
Katanya, pelaksanaan kajian separuh penggal itu akan dilaksanakan segera melibatkan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Perak.
Berhubung terdapat sebarang perubahan melibatkan pelan Perak Sejahtera 2030, Saarani berkata, ia bergantung kepada kajian separuh penggal tersebut.
“Bergantung kepada hasil kajian separuh penggal sebab kita dapati ada daerah yang dah jauh ke depan, ada lagi yang masih perlahan, kita kena ubah suai,” katanya.- KOSMO! ONLINE















